PENGENALAN

Kolej Komuniti Nibong Tebal (KKNT) merupakan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan di bawah Parlimen Nibong Tebal. Kolej ini merupakan kolej komuniti ke 38 yang ditubuhkan di Malaysia dan telah beroperasi sejak Januari 2008. Lokasi penempatan Kolej Komuniti Nibong Tebal terletak di Simpang Ampat, Bandar Tasek Mutiara, di mana kawasan ini terletak di bawah Parlimen Nibong Tebal.

KKNT ditubuhkan untuk memberi peluang pendidikan dan latihan khusus kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada peringkat permulaan, KKNT menawarkan kursus sepenuh masa iaitu kursus Sijil Hotel & Katering.

Pada Tahun 2010, Sijil Modular Kebangsaan telah diperkenalkan bagi menggantikan kursus sepenuh masa yang mana Sijil Modular ini memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan setaraf dengan institusi pengajian yang lain. Di samping itu, Kolej Komuniti Nibong Tebal juga pernah menawarkan kursus Latihan 1Malaysia kepada umum. Ia adalah ilham YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak dalam pembentangan Bajet 2011 bagi membantu meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat setempat melalui Latihan 1Malaysia. Terkini, Kolej Komuniti Nibong Tebal menawarkan program Sijil Kulinari buat lepasan pelajar SPM dengan kelayakan minimum 1 kredit.

Kolej ini juga akan memperhebatkan dan mempelbagaikan lagi tawaran melalui Program Kursus Pendek bagi menarik minat lebih ramai masyarakat setempat mengambil bahagian dalam pembelajaran sepanjang hayat. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk meningkatkan dan menambahkan pengetahuan bagi memperbaiki taraf kehidupan dan menjana peningkatan taraf ekonomi masing-masing.